Wednesday, November 28, 2012

Kisah kita berdua (1)

Salam semua,

Beberapa hari berada di kampung halaman bersama ibuku yang baru sahaja menyambut ulangtahun kelahiran ke 70 tahun, daku menikmati suasana keindahan dan kedamaian kampung yang tenang. Berada di atas buaian kecil di bawah sepohon pokok rambai, sambil mendodoi anak kecilku yang sedang galak mengajakku mengambil angin luar, minda ku tiba-tiba meneroka kembali tiap detik hidupku bersama arwah suami. Sememangnya usia perkahwinan yang lama, ada manis, ada pahit, ada asam garam kehidupan. Namun kehidupan yang lalu, indahnya tidak tergambarkan rasanya. Pastinya hampir kesemua pasangan berkahwin pun begitu. Saat  ketika kami baru berkenalan dan seterusnya berkahwin bagaikan kisah dan back ground dalam filem ayat-ayat cinta. (Pernah ku masukkan kisah ayat-ayat cinta ini dalam post terdahulu bertahun yg lalu di sini, semasa arwah masih ada....dia hanya tersenyum dengan mata bercahaya..)Berlatar belakangkan Kaherah, di situ bermulanya cinta. Ya, cinta selepas berkahwin, yang disemai dan diukir sedikit demi sedikit...hingga terpahat dan sukar dipadamkan. Selepas melafaz akad nikah, kami masih di Kaherah selama 3 bulan. Kami penuhinya bagaikan berbulan madu walaupun hanya dengan berjalan2 ke Pyramid dan Spinx. (Kami sempat kembali semula menyusuri sungai Nil, kuliah2 kami, Atabah, Masakin Osman, Hayyul Asyir dan rumah yang pernah kami duduki bersama pada tahun 2009 yang lalu, semasa kami berada di UK- untuk ke Ma'rad Kutub/Ekspo Buku Antarabangsa Kaherah- Sungguh indah dapat menyusuri kembali tempat2 yang menjadi sejarah indah kami bersama).

Pada awal tahun 1995, kami pulang ke Malaysia, selepas beberapa hari mengenali dan berada bersama pihak keluarga arwah, kami tinggal bersama ibubapa ku. Kebetulan kami terus dapat mengajar sementara di dua buah sekolah berdekatan. Abang hampir setiap awal pagi menghantar aku separuh jalan dengan van lama arwah ayah, sebelum aku menumpang guru lain. Bila pulang, kadangkala jam 4 petang baru sampai ke rumah semula kerana aku terpaksa menumpang dengan mana2 guru yang ada. Masa itu, sukar juga hidup kami. Hingga nak membeli sebuah kipas meja secara cash n carry pun kami tak mampu. Biasalah guru baru bekerja...lima bulan baru dapat gaji...Namun, alhamdulillah, arwah ayah dan juga ibu amat2 memahami. Enam bulan kita sama2 berulang alik mengajar...abang diterima untuk menjadi pengajar di Matrikulasi. Manakala tak lama kemudian daku diterima pula untuk menyambung pelajaran dalam diploma pendidikan. Alhamdulillah...Namun sebulan juga kita menumpang di rumah kakak, sementara kita dah stabil dan dapat mencari rumah. Hampir setiap hari,dakulah orang yang amat bahagia dan gembira bila pulang dari kuliah. Walaupun masa itu abang hanya menaiki motor, namun setiap kali kelibat abang datang, tak tergambar rasa gembiranya hatiku. Motor honda merah berbakul di belakangnya...itulah kenderaan pertama abang.  Dengan motor inilah kita pergi ke Port Dickson, dalam hujan renyai2 hampir sepanjang jalan...hingga tak lama kemudian, bila pulang, kita sama2 demam. Rumah sewa pertama kita adalah sebuah flat kecil, harga sewanya lebih kurang rm 280 sahaja pada masa itu. Dengan tanpa peti ais dan barang2 mewah, namun hidup kita tetap bahagia. Hidup kita sentiasa gembira berdua. Tak byk yang harus kita fikirkan. Hidup kita teruskan dengan kesibukan seorang pelajar dan juga seorang tutor pensyarah. Hidup kita masih bergelumang dengan ilmu dan dunia pelajar. Hingga daku di hantar praktikum di KIK, bekas sekolah lamaku. Kita terpaksa berjauhan ...Daku hanya menunggu bilakah waktu hujung minggu...kerana bila tiba masa itu, adalah masa yang paling ditunggu2...untuk daku kembali ke sisi abang...rindu berjauhan selama seminggu tak tertahan rasanya mencengkam....itulah seingatku masa paling lama kami berjauhan...7 hari. 

Namun kini sudah lebih sebulan abang tiada. Sungguh lama....Inilah yang paling lama pastinya kita terpisah...Apetah lagi, Abang langsung tiada. Di depan, di kanan, di kiri, di telefon....tiada di mana2. Tidak dapat ku pandang lagi wajah abang yang keanak-anakan dan suka melempar senyuman...tak dapat kusentuh lagi tangan abang...tak dapat kudengar lagi kata2 abang berceloteh, ketawa atau menasihatiku...tak dapat lagi kuluahkan dan bertanyakan sebarang kemusykilanku pada abang, yang bisa meleraikan kekusutanku ...Tidak dapat lagi kudengar suara abang mengalun ayat-ayat suci atau kalimah syahadah abang tatkala menidurkan anak...Tidak akan kuterima lagi deringan panggilan telefon dari abang atau message-message dari abang....Ya Allah...Betapa rinduku tak tergambarkan. Betapa rinduku pada abang amat2 mencengkam. Rinduku hingga terasa menggetar jiwa...sungguh menyusuk...hingga terasa sakitnya di dada...

Ya Allah Ya Tuhanku...sampaikanlah rinduku pada dia...

Al Fatihah buat suamiku Kharuddin bin Fatimah...Amin...

Masukkanlah al-Marhum dalam kalangan orang-orang yang Kau kasihi, Ya Allah...

Dan semoga aku dapat menemuinya semula nanti. di bawah lembayung naungan-Mu Ya Allah..amin...




Thursday, November 22, 2012

Post buat Suamiku tercinta...Semoga dirimu tenang di sana...

Assalamualaikum semua,

Di dada laman ini ingin kucoretkan secebis kisah hidupku yang kini berdepan dengan ujian paling getir. Minta maaf buat semua, mungkin ini suatu luahan pada suatu kehilangan yang tidak akan berganti. Suatu perpisahan yang memisahkan aku dengan suamiku tercinta. Perginya abang tidak kembali. Pada usia perkahwinan menjangkau 18 tahun, terasa tidak puas lagi bersamamu, Abang. Sukar sungguh dinda menerima suratan takdir ini pada mulanya. Dinda mengharapkan suatu keajaiban daripada Tuhan yang maha Esa dan Berkuasa, agar tidak membawamu pergi di saat-saat dinda masih memerlukanmu, Abang. Dinda berdoa sungguh-sungguh,moga abang cepat sembuh dari kesakitan itu. Dinda mohon penuh harapan, moga para doktor dapat mengesan sakit abang dan mencari ubat terbaik sebagai usaha ikhtiar kita. Rakan-rakan kita, ahli qariah taman kita, anak-anak murid abang dan anak-anak murid dinda semuanya berdoa dan mengharapkan yang terbaik untuk abang semasa abang di dalam ICU. Mereka semua yang kebanyakkanya para alim ulamak dan para hafiz membuat solat hajat untuk abang. Mereka berduyun silih berganti menziarahi abang semasa abang tidak sedarkan diri di hospital. Hati dinda tak dapat digambarkan ketika itu. Sungguh ngilu dan sesak rasa di dada. Terasa tak cukup udara untuk dinda bernafas. Dinda hampir buntu, tak tahu apa mahu dibuat. Hanya doa dan pasrah segalanya. Pelbagai persoalan bermain-main di fikiran...benarkah abang akan pergi meninggalkan dinda sendirian? Benarkah? Mengapa ini semua terjadi pada dinda? Mengapa abang menahan sakit abang hingga membawa kepada sakit yang kritikal begini? Tentu abang amat-amat merasa sakit dipenuhi wayar-wayar yang berselirat di sana sini di seluruh tubuh abang. Maafkan dinda abang kerana tak mampu berbuat apa2 untuk mengurangkan kesakitan itu. Dinda tak dapat menjaga abang sebaik-baiknya.

Abang, redhakah abang pada dinda selama ini? Adakah abang memaafkan kesalahan dinda selama ini? Adakah abang bahagia hidup bersama dinda selama ini? Dinda akui adinda bukanlah isteri yang terbaik. Banyak kesalahan yang dinda lakukan pada abang. Dinda minta ampun abang. Abang adalah orang terbaik di sisi dinda selama ini. Sungguh baik. Banyak nasihat dan perilaku abang yang menjadi pendorong iman dan amal adinda. Dinda pasti, dinda tidak akan dapat mencari pengganti yang sama dengan abang. Abang adalah yang terbaik yang telah dijodohkan Allah SWT untuk adinda. Dari itu janganlah abang tinggalkan dinda...Tolonglah Ya-Allah, janganlah ambil nyawanya di waktu begini...berikanku kesempatan bersamanya lagi....atau sekurang-kurangnya diberi kesempatan bagi kami saling bermaafkan dan meredhakan.

Abang, Jika abang pergi, apa akan terjadi pada dinda dan anak kita? Jika abang pergi, apakah perkara terbaik yang dinda boleh lakukan untuk abang untuk berhadapan dengan yang Maha Esa nanti, abang. Adakah nanti kita bisa bertemu lagi di alam sana...suatu ketika nanti? Sudikah abang menerima dinda kembali sebagai permaisuri di hati abang di Syurga nanti? Atau adakah adinda ini tidak layak untuk berdamping semula dengan abang yang sungguh baik dan soleh?...

Hari kedua, tanggal 23 Oktober, ketika orang lain sudah sibuk bersiap untuk menyambut cuti hariraya Haji, pada waktu awal pagi itu doktor memanggil dinda di ruang keluarga agar masuk melihat abang. Ya Allah....sungguh luruh hati dinda melihat kondisi abang ketika itu. Abang masih tidak sedarkan diri kerana diberikan dos ubat tidur. Namun abang kian lemah. Tekanan darah sudah semakin rendah dan tak stabil. Tiada apa yang doktor dapat lakukan. Abang dah diberikan pernafasan life support. Dalam gigil, dinda diminta menelefon semua waris...Ya Allah...adakah ini suratan-Mu pada hamba-Mu ini? kasihanilah dia...kasihanilah hamba...kasihanilah anak kecilku yang akan kehilangan abahnya yang baru saja 6 bulan dapat bermanja...ya Allah...mengapa ini yang harus kami lalui...rasa tak tertanggung ujian-Mu ini Ya Allah...

Dalam kepedihan itu,dinda gagahkan diri melihat dan meneliti wajah abang buat kali terakhir sebelum abang pergi selama-lamanya. Tanda-tanda abang akan pergi sudah ada, dimulai dengan peluh dingin dari bahagian kaki ke atas, sedikit demi sedikit. Ketika itu dinda pasrah. Diiringi alunan suci ayat-ayat al-Quran, dinda kuatkan diri melepaskan abang pergi. Dinda luahkan kata-kata ini, "Abang, jika abang boleh bertahan, bertahanlah abang, Mohon daripada Allah moga abang dapat sembuh kerana banyak lagi tanggungjawab abang yang masih tidak selesai. Namun abang, seandainya abang perlu pergi, pergilah dengan tenang, bertemulah dengan Tuhan yang Maha Esa...pohonlah keampunan dan kasih sayang-Nya sedangkan Dia Maha Pengasih dan Pengampun, dinda redha dan maafkan abang, tapi sebenarnya, abang tiada salah apa2 pun....sebaliknya, Dinda minta maaf pada abang banyak-banyak...dinda yang banyak salah kat abang...Abang, takpelah bang, pergilah abang dengan jiwa yang tenang. Usah bimbang dengan dinda dan Ammar di sini. Dinda akan selesaikan segala tanggungjawab abang dan dinda akan jaga Ammar, insya-Allah... Di saat itulah dinda lihat juntaian airmata mengalir dari kedua-dua kelopak mata abang...buat pertama kalinya sejak abang terlantar sakit dan tidak sedarkan diri di hospital. Di ketika itulah dinda yakin, abang dapat mendengar kata-kata dinda. Dan selepas itu, hanya kata-kata dua kalimah syahadah yang dinda bacakan di telinga abang. Dikelilingi saudara mara terdekat dan juga rakan-rakan, akhirnya abang pergi dengan tenang, hingga hampir tidak dinda sedari...hinggalah doktor berbisik menyatakan abang sudah tiada....Ya Allah, Ya Tuhan...Inikah takdir abang...inikah takdirku....di usia baru mencecah 44 tahun abang pergi meninggalkan kami...

Namun kini dinda pasrah, Ya...Benarlah Allah SWT lebih menyayangi mu, Abang. Semoga abang tenang dan mendapat kerehatan di sana. Semoga abang berada dalam raudhah min rhiadil Jannah. Semoga abang termasuk golongan orang-orang yang beriman dan dikasihi Allah... Sememangnya dunia dinda berubah sekelip mata...bagaikan tidak percaya...semua ini berlaku pada dinda...Namun sedikit demi sedikit, dengan bantuan rakan-rakan dan saudara terdekat...semuanya banyak membantu samada dari segi kewangan, nasihat mahu pun tenaga...terima kasih buat semua yang membantu dan juga memahami diri ini...semoga Allah SWT jua membalasnya dengan sebesar-besar ganjaran....amin....

Tuesday, August 14, 2012

Salam Hujung Ramadhan

Assalamualaikum semua, Telah lama tidak menulis. Rasa kaku dan aneh pula. Dulu, hampir setiap hari atau minggu ada saja cerita atau coretan atau gambar2 yang dipostkan. Kini, di Malaysia saat-saat itu hampir dilupakan. Kekangan masa amat terasa. Apepun kini Ramadhan sudah berada di penghujungnya. Hanya tinggal beberapa hari saja ia akan berakhir. Izinkan saya memohon maaf dan keampunan di atas segala kesilapan. Keampunan dari Yang Esa pastinya yang paling didambakan. Juga keampunan daripada bonda di atas segala perilaku anakanda yang tak lepas dari kesilapan dan dosa. Dari semua blogger juga kuharapkan keampunan, segala silap salah harap dimaafkan. Semoga Ramadhan ini lebih baik daripada Ramadhan yang lepas. Serta di hariraya nanti kita berbahagia hendaknya. Aminnn... p/s- semalam berbuka dengan air kelapa + laici...first time rasa...sedap jugak rupanya.

Saturday, March 31, 2012

Saturday, February 4, 2012

Cuti yang tak cuti

Salam semua,

Hari ni sepatutnya cuti. Cuti hari Sabtu. Tapi kena datang sekolah, ada mesyuarat PIBG.

Jam 8 lagi Cikguzue dah sampai. Tapi rupanya jam 9 baru majlis bermula. Lambat kerana menunggu parent dan juga ahli kehormat datang. Selepas ucapan demi ucapan, jam 10 baru bermula ceramah tentang Kolej Vocasional yang sudah mula dilancarkan. Ianya lebih terbuka kepada pelajar yang lebih cenderung kepada aspek kemahiran dan kurang dari segi akademik. Secara jelasnya, ianya lebih terbuka kepada pelajar yang kurang bijak dalam IQ dan hafalan tetapi bijak dalam kemahiran diri seperti me'repair' motor, memasak, bertani dan sebagainya. Maka pelajar2 yang biasanya tidak minat belajar, bolehlah terus mengikuti program ini sejak dari tingkatan satu lagi. Dan keluar dengan mendapat sijil diploma selepas empat tahun. Agak baik juga program yang dianjurkan oleh kementerian Pelajaran ini,kerana mungkin inilah salah satu cara menangani keciciran/ponteng sekolah dalam kalangan pelajar yang lemah. Namun alangkah lebih baik lagi jika ianya terbuka kepada semua, tidak kira samada mereka pelajar yang bijak atau tidak. Yang penting minat. Kan lebih hebat jika sekiranya kita dapat mengumpulkan pelajar2 yang bijak lagi berminat dengan kemahiran itu.

Duajamjuga sesi ceramah itu. Ramai ibubapa sudah mulai resah. Tentunya hajat mereka untuk bermesyuarat dan meluahkan cadangan atau rasa hati tidak kesampaian jika mereka terpaksa pulang kerana sudah lewat. Jam 11.30 pula sesi jamuan ringan dan jam 12 barulah bermula sesi mesyuarat PIBG. Lambat,kan. Ape daya...sabor jela demi anak2 didik ku...heheh...

Begitulah kisah hari cuti yang macam tak cuti. Rasanya hampir setiap Sabtu yang akan datang kami juga kena datang sekolah. Akhirnya jadilah macam kerja 6 hari seminggu juga.

Sapa kata kerja cikgu mudah...hehe...

Tapi tugas Rasulullah SAW semesti lebih sukar...

Salam dan selawat kepada Nabi Muhammad dan keluarganya. Firman Allah dalam surah al-Ahzab, ayat 56 yang bermaksud: �Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi Muhammad; wahai orang yang beriman, berselawatlah serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya�.

Friday, February 3, 2012

Suci dalam debu

Salam semua.

Sudah hampir sebulan rupanya,kami hidup dalam debu. Alhamdulillah ada tingkat bahagian atas. Bolehla menghirup udara agak selesa sedikit. Tak sabar rasanya nak mengemas rumah semula yang dah macam tongkang pecah. Apepun, bila waktu sekolah, masa tak terasa begitu lambat. Sekejap je dah hampir sebulan. Sekarang kata tukang, dah tinggal sedikit saja lagi. Tinggal cat sana sini. emmm....tahun ni rasa macam mata ni berkenan dengan warna hijau. Apple green...macam cantik je. Purple pun macam berkenan juga. Emmm...tengokla apa yang terjadi nanti. Tentunya nak matching dengan barang2 UK yang berlambak tu...Haiiii....itula. Saje cari na'as orang kata.

Ada satu lagi, penantian yang sedang ditunggu. Harap semuanya lancar nanti.

Sungguh bila pulang semula ke tanah air, terasa hidup ini bermula semula. Semuanya baru. Semuanya bertukar. Hidup lama bagai sudah jadi sejarah. Sudah dilupakan. Tapi terkadang perlu juga diingatkan. Kerna banyak suka dan duka di dalamnya.

Salam Maulidurrasul.
Pengorbanan Nabi Muhammad SAW harus diingati dan dihayati bersama.

Tuesday, January 24, 2012

Rinduku pada Lampeter

Diselang seli bunyi orang menukang rumah di belakang rumahku, tiba2 rinduku berbunga pada hari-hari yang telah kutinggalkan sewaktu berkelana di Lampeter. Kubaca kembali kisah2ku di blog lama yang kini menjadi satu sejarah indah yang mungkin entah bila boleh diulang kembali. Setiap bait yang dulunya hanya untuk mengisi waktu lapang, rupanya bagaikan ubat ampuh menyembuh rasa di jiwaku kini. Gambar2 yang ada yang sebenarnya hanya sekadar penghias cuma, yang bukan untuk mendabik dada, kini membuak-buakkan rasa rindu yang teramat pada kedamaian dan ketenangan hidup di bumi menghijau, nyaman...walaupun di kelilingi ladang biri2 yang meluas.

Rindu ini sungguh mencengkam. Rindu pada rapatnya silaturrahim sesama rakan seperjuangan dan hubungan kekeluargaan yang erat. Rindu pada jeritan dan gelak tawa anak2 kecil di taman permainan sekolah, rindu pada dedaunan kering kuning berkilauan yang jatuh melayang ditiup angin dingin, rindu pada kedinginan yang nyaman, rindu pada Mrs Janet jiranku yang entah sudah sihat atau belum, rindu pada tuan rumahku yang sungguh ramah dan baik hati, rindu teman2 sekerjaku di sekolah,rindu menyusuri taman-taman bunga tulip, rhodonderon, sakura, dandelion...rindu menyusuri kedai-kedai di pekan Lampeter dan juga carboot sale di musim summer...pokoknya segala-galanya rindu. Kuharapkan semoga suatu hari nanti aku dapat kembali ke sana walau hanya seketika. Sudah empat tahun di sana, pasti banyak suka dan duka. Itulah adat resam dan rencah dunia. Namun kini, segala2nya manis bagiku. Doaku semoga satu hari nanti kami dapat menjejakkan kaki lagi ke sana...amin...

Tuesday, January 10, 2012

Setelah 3 bulan berlalu...

Setelah tiga bulan berlalu...
Hari-hari yang berlalu terasa begitu laju berlalu.
Sepanjang cuti sekolah yang lalu, banyak masa dihabiskan dengan mengemas rumah. Membuka kotak. Memilih dan menyusun semula barang mengikut kategori dan keperluan. Semuanya dilakukan sendiri.Sesekali cik abe membantu di waktu cutinya pula. Penat memangla penat. Tapi agak berbaloi bila melihat rumah dah mula ada rupa rumah. hehe...Dahulu rumah terasa begitu luas. Sekarang agak penuh la pula...bila mak dan adik beradik datang masing2 terkejut juga dengan perubahan rumah. Ape tidaknya segala apa yang ada di UK hampir ke semuanya dibawa balik. Bukan apa, terasa sayang pula nak tinggal. Terutama barang2 yang sememangnya digunakan di sana yang masih elok2 lagi. Bila membuka kotak, terasa macam mendapat hadiah pula. Sebahagian barang ada juga yang cikguzue sendiri dah lupa akan kewujudannya...hehe...

Pada tahun ini, cikgu Zue bersekolah pada sesi pagi. Maka awal pagi segala2nya perlu siap sebelum azan berkumandang. Menyeterika baju, persiapan beg, lesson plan semuanya sudah siap pada malam harinya. Di awal pagi sebelum azan, mata dah perlu dibuka. Maka sebaik2 azan saja, terus menunaikan solat dan terus keluar menuju ke satu tempat pertemuan sebelum berkongsi kereta dengan seorang rakan yang turut sama berkhidmat di sekolah yang jauh dari rumah masing-masing. Begitulah sedikit perubahan dan pengorbanan yang terpaksa dilalui. Namun walaupun begitu, alhamdulillah pelajar2 yang cikguzue ajar walaupun cikguzue mengajar kelas paling hujung dan second hujung, namun cikguzue rasa pelajar2 kali ini walaupun lemah tetapi lebih baik drpd sebelumnya. Lebih fokus dan terkawal. Kemungkinan waktu pagi memberi semangat baru buat mereka, harap2nya begitulah sehingga mereka menghadapi peperiksaan penting iaitu PMR pada tahun ini.Dan kemungkinan, inilah hikmah di sebalik kesusahan yang cikguzue terpaksa hadapi setelah di arahkan mengajar di sekolah lain dan jauh pula.

Wassalam.