Thursday, November 22, 2012

Post buat Suamiku tercinta...Semoga dirimu tenang di sana...

Assalamualaikum semua,

Di dada laman ini ingin kucoretkan secebis kisah hidupku yang kini berdepan dengan ujian paling getir. Minta maaf buat semua, mungkin ini suatu luahan pada suatu kehilangan yang tidak akan berganti. Suatu perpisahan yang memisahkan aku dengan suamiku tercinta. Perginya abang tidak kembali. Pada usia perkahwinan menjangkau 18 tahun, terasa tidak puas lagi bersamamu, Abang. Sukar sungguh dinda menerima suratan takdir ini pada mulanya. Dinda mengharapkan suatu keajaiban daripada Tuhan yang maha Esa dan Berkuasa, agar tidak membawamu pergi di saat-saat dinda masih memerlukanmu, Abang. Dinda berdoa sungguh-sungguh,moga abang cepat sembuh dari kesakitan itu. Dinda mohon penuh harapan, moga para doktor dapat mengesan sakit abang dan mencari ubat terbaik sebagai usaha ikhtiar kita. Rakan-rakan kita, ahli qariah taman kita, anak-anak murid abang dan anak-anak murid dinda semuanya berdoa dan mengharapkan yang terbaik untuk abang semasa abang di dalam ICU. Mereka semua yang kebanyakkanya para alim ulamak dan para hafiz membuat solat hajat untuk abang. Mereka berduyun silih berganti menziarahi abang semasa abang tidak sedarkan diri di hospital. Hati dinda tak dapat digambarkan ketika itu. Sungguh ngilu dan sesak rasa di dada. Terasa tak cukup udara untuk dinda bernafas. Dinda hampir buntu, tak tahu apa mahu dibuat. Hanya doa dan pasrah segalanya. Pelbagai persoalan bermain-main di fikiran...benarkah abang akan pergi meninggalkan dinda sendirian? Benarkah? Mengapa ini semua terjadi pada dinda? Mengapa abang menahan sakit abang hingga membawa kepada sakit yang kritikal begini? Tentu abang amat-amat merasa sakit dipenuhi wayar-wayar yang berselirat di sana sini di seluruh tubuh abang. Maafkan dinda abang kerana tak mampu berbuat apa2 untuk mengurangkan kesakitan itu. Dinda tak dapat menjaga abang sebaik-baiknya.

Abang, redhakah abang pada dinda selama ini? Adakah abang memaafkan kesalahan dinda selama ini? Adakah abang bahagia hidup bersama dinda selama ini? Dinda akui adinda bukanlah isteri yang terbaik. Banyak kesalahan yang dinda lakukan pada abang. Dinda minta ampun abang. Abang adalah orang terbaik di sisi dinda selama ini. Sungguh baik. Banyak nasihat dan perilaku abang yang menjadi pendorong iman dan amal adinda. Dinda pasti, dinda tidak akan dapat mencari pengganti yang sama dengan abang. Abang adalah yang terbaik yang telah dijodohkan Allah SWT untuk adinda. Dari itu janganlah abang tinggalkan dinda...Tolonglah Ya-Allah, janganlah ambil nyawanya di waktu begini...berikanku kesempatan bersamanya lagi....atau sekurang-kurangnya diberi kesempatan bagi kami saling bermaafkan dan meredhakan.

Abang, Jika abang pergi, apa akan terjadi pada dinda dan anak kita? Jika abang pergi, apakah perkara terbaik yang dinda boleh lakukan untuk abang untuk berhadapan dengan yang Maha Esa nanti, abang. Adakah nanti kita bisa bertemu lagi di alam sana...suatu ketika nanti? Sudikah abang menerima dinda kembali sebagai permaisuri di hati abang di Syurga nanti? Atau adakah adinda ini tidak layak untuk berdamping semula dengan abang yang sungguh baik dan soleh?...

Hari kedua, tanggal 23 Oktober, ketika orang lain sudah sibuk bersiap untuk menyambut cuti hariraya Haji, pada waktu awal pagi itu doktor memanggil dinda di ruang keluarga agar masuk melihat abang. Ya Allah....sungguh luruh hati dinda melihat kondisi abang ketika itu. Abang masih tidak sedarkan diri kerana diberikan dos ubat tidur. Namun abang kian lemah. Tekanan darah sudah semakin rendah dan tak stabil. Tiada apa yang doktor dapat lakukan. Abang dah diberikan pernafasan life support. Dalam gigil, dinda diminta menelefon semua waris...Ya Allah...adakah ini suratan-Mu pada hamba-Mu ini? kasihanilah dia...kasihanilah hamba...kasihanilah anak kecilku yang akan kehilangan abahnya yang baru saja 6 bulan dapat bermanja...ya Allah...mengapa ini yang harus kami lalui...rasa tak tertanggung ujian-Mu ini Ya Allah...

Dalam kepedihan itu,dinda gagahkan diri melihat dan meneliti wajah abang buat kali terakhir sebelum abang pergi selama-lamanya. Tanda-tanda abang akan pergi sudah ada, dimulai dengan peluh dingin dari bahagian kaki ke atas, sedikit demi sedikit. Ketika itu dinda pasrah. Diiringi alunan suci ayat-ayat al-Quran, dinda kuatkan diri melepaskan abang pergi. Dinda luahkan kata-kata ini, "Abang, jika abang boleh bertahan, bertahanlah abang, Mohon daripada Allah moga abang dapat sembuh kerana banyak lagi tanggungjawab abang yang masih tidak selesai. Namun abang, seandainya abang perlu pergi, pergilah dengan tenang, bertemulah dengan Tuhan yang Maha Esa...pohonlah keampunan dan kasih sayang-Nya sedangkan Dia Maha Pengasih dan Pengampun, dinda redha dan maafkan abang, tapi sebenarnya, abang tiada salah apa2 pun....sebaliknya, Dinda minta maaf pada abang banyak-banyak...dinda yang banyak salah kat abang...Abang, takpelah bang, pergilah abang dengan jiwa yang tenang. Usah bimbang dengan dinda dan Ammar di sini. Dinda akan selesaikan segala tanggungjawab abang dan dinda akan jaga Ammar, insya-Allah... Di saat itulah dinda lihat juntaian airmata mengalir dari kedua-dua kelopak mata abang...buat pertama kalinya sejak abang terlantar sakit dan tidak sedarkan diri di hospital. Di ketika itulah dinda yakin, abang dapat mendengar kata-kata dinda. Dan selepas itu, hanya kata-kata dua kalimah syahadah yang dinda bacakan di telinga abang. Dikelilingi saudara mara terdekat dan juga rakan-rakan, akhirnya abang pergi dengan tenang, hingga hampir tidak dinda sedari...hinggalah doktor berbisik menyatakan abang sudah tiada....Ya Allah, Ya Tuhan...Inikah takdir abang...inikah takdirku....di usia baru mencecah 44 tahun abang pergi meninggalkan kami...

Namun kini dinda pasrah, Ya...Benarlah Allah SWT lebih menyayangi mu, Abang. Semoga abang tenang dan mendapat kerehatan di sana. Semoga abang berada dalam raudhah min rhiadil Jannah. Semoga abang termasuk golongan orang-orang yang beriman dan dikasihi Allah... Sememangnya dunia dinda berubah sekelip mata...bagaikan tidak percaya...semua ini berlaku pada dinda...Namun sedikit demi sedikit, dengan bantuan rakan-rakan dan saudara terdekat...semuanya banyak membantu samada dari segi kewangan, nasihat mahu pun tenaga...terima kasih buat semua yang membantu dan juga memahami diri ini...semoga Allah SWT jua membalasnya dengan sebesar-besar ganjaran....amin....

8 comments:

  1. Salam zue...sedihnya kak Zai baca n3 ini membuatkan air mata mengalir. Banyakkan bersabar ya dan redhalah dengan apa yang berlaku.In shaa Allah arwah tenang dan aman disana...amin.

    Al-Fatihah.

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam Kak Zai, Inilah suratan dan takdir kami. Sungguh sedih dan pedih menerimanya. Namun Allah Maha Mengetahui segalanya.
    Al-Fatihah buat arwah.

    ReplyDelete
  3. al fatihah... moga rohnya dicucuri rahmat & ditempatkan bersama ahli syurga...

    sabar ya kak zue..

    ReplyDelete
  4. alfatihah. semoga di bearda dgn org yg mendapat rahmatNya
    semoga tabah menghadapinya.

    ReplyDelete
  5. cikguzue,
    takziah dan al fatihah untuk arwah.semoga rohnya ditempatkan bersama mukmin yg soleh. cepat atau lambat, kita akan berpisah dgn orang2 tersayang.

    ReplyDelete
  6. nIEDA rAMLY,

    Terima kasih...insya-Allah saya redha atas segalanya.

    ReplyDelete
  7. Rumah kuning,
    Amin...semoga Arwah ditempatkan bersama mukmin soleh. Iye, kita pun suatu masa akan menyusul.

    ReplyDelete
  8. Alfatihah

    Cikgu zue, betabahlah.. Semoga bertemu semula di jannah nanti..

    ReplyDelete